BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 31, 2008

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, di samping itu, marilah kita meningkatkan usaha dalam mendidik anak-anak, ahli keluarga dan masyarakat untuk menyempurnakan segala kewajipan, termasuklah juga usaha menangani gejala sosial, terutama keruntuhan akhlak dan pembabitan jenayah di sekeliling kita.

Semoga kita memperolehi keberkatan serta perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat.

Islam melarang umatnya daripada melakukan apa jua perkara yang mendatangkan mudarat sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada masyarakat. Salah satu perkara atau perbuatan yang sangat ditegah dan wajib dijauhi oleh setiap Muslim ialah mengambil atau memakan atau meminum sesuatu yang mengkhayalkan atau memabukkan seperti meminum minuman keras (khamar) dan penyalahgunaan dadah.

Dalam hal ini, adakah kita sedar terhadap bahaya ancaman penagihan dadah? Sesungguhnya dadah telah banyak merosakkan dan memusnahkan hidup manusia, meruntuh kebahagiaan rumah tangga, mengancam keselamatan diri, agama, bangsa dan negara.

Penyalahgunaan dadah di negara ini kian membimbangkan terutama penggunaan dadah yang dipanggil ‘Syabu’ di negara ini berbagai istilah telah digunakan oleh pengedar dan penagih dadah seperti : ais, kristal, kaca, batu, gula batu, aji no moto, lauk putih, aiskrim dan tawas.

Selain daripada dadah ‘Syabu’, ada juga dadah lain yang diambil oleh penagih-penagih dadah di negara ini seperti dadah heroin, morfin, ganja, pil-pil dan ubat-ubat batuk yang disalahgunakan.

Para ulama telah bersetuju bahawa dadah itu termasuk di dalam pengertian arak kerana dadah boleh mengganggu dan mengkhayalkan fikiran sama seperti arak.


Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
“Daripada Ibnu Umar Radiallahuanhuma: Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Semua yang memabukkan itu adalah termasuk dalam erti kata arak dan semua yang memabukkan itu adalah haram." (Riwayat Imam Muslim).


Dan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi maksudnya:
“Daripada Malik bin Abi Mariam katanya: "Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, pasti akan ada manusia di kalangan umatku yang minum khamar, namun mereka menamakannya dengan nama-nama yang lain." (Hadis Riwayat Imam Abu Daud).

Penyalahgunaan dadah boleh memberi kesan buruk kepada akal, melemahkan tenaga berfikir dan kecerdasan, mengakibatkan penyakit urat saraf mengakibatkan mati pucuk, kerosakan pada hati dan buah pinggang, angin ahmar (stroke), sawan dan boleh mendatangkan maut.

Bagi penagih yang sudah berkeluarga, dadah boleh meruntuhkan kebahagiaan rumah tangga bahkan boleh menyebabkan berlakunya perceraian. Rumah tangga yang sempurna dan bahagia akan musnah di mana anak-anak yang dikasihi akan turut menderita.

Perlu diketahui dan disedari, bahawa akibat dari penyalahgunaan dadah ini, kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah termasuklah dalam membanteras dan memberikan rawatan serta pemulihan.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:
"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu berkata, bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, penagih khamar sama seperti penyembah berhala." (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).


Hadis tersebut menjelaskan dosa penagih khamar atau dadah dengan dosa penyembah berhala adalah sama yang merupakan satu kekufuran yang sangat berat dosanya. Ini menunjukkan betapa besar dosa dan betapa kerasnya larangan tersebut.

Bila melihat betapa besarnya bahaya dadah itu, maka bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Dadah Haram 2007 yang disambut pada 26 Jun 2007 yang lalu, marilah kita sama-sama muhasabah diri sejauh mana kita telah menjaga anak-anak kita dari terpengaruh dengan penyalahgunaan dadah dan perkara-perkara mungkar lain yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam api neraka dan jauh dari rahmat Allah Subhanahu Wata'ala.

Para ibu bapa adalah bertanggungjawab dalam membentuk anak-anak atau para belia ke arah mengamalkan segala tuntutan Islam. Ini penting bagi melahirkan masyarakat yang memiliki iman yang teguh serta mempunyai ketahanan diri yang utuh dalam menghadapi segala godaan yang boleh merosakkan dan memusnahkan hidup.

Di antara perkara-perkara yang boleh mencegah dan mengawal anak-anak kita dari terjebak dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara-perkara mungkar yang lain ialah:

Pertama : Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mendirikan sembahyang fardu lima waktu dengan sempurna kerana sembahyang yang sempurna boleh menjamin seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Ankabuut ayat 45, tafsirnya:
"Dan dirikanlah sembahyang dengan tekun, sesungguhya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar."


Kedua : Ibu bapa juga hendaklah mendorong anak-anak untuk membiasakan membaca Al-Qur’an, di samping mengerjakan sembahyang sunat, berzikir dan lain-lain lagi kerana faedahnya yang amat banyak. Sebaliknya orang-orang yang lalai akan sentiasa menjadi teman syaitan dan hidupnya sentiasa menuju ke arah perkara-perkara mungkar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Ankabuut ayat 45, tafsirnya:
"Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar faedahnya dan kesannya dan ingatlah Allah Ta’ala Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."


Ketiga : Melakukan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan. Sesungguhnya kehidupan manusia akan menjadi manis dan indah sekiranya amar makruf nahi mungkar diamalkan dalam kehidupan seperti sentiasa menjaga akhlak dan batasan dalam pergaulan dan takut untuk melakukan perkara-perkara mungkar termasuk penyalahgunaan dadah.

Keempat : Mewujudkan suasana harmoni dalam rumah tangga. Adapun rumah tangga yang harmoni akan dapat mewujudkan suasana yang bahagia serta anak-anak tidak merasa bosan dan jemu berada di rumah. Apa yang penting, elakkan anak-anak hidup berfoya-foya kerana ia boleh membuka ruang kepada mereka untuk terjerumus dengan dadah.

Kelima : Penglibatan ibu bapa dalam mendidik serta menyedarkan anak-anak tentang bahaya dan kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah hendaklah dipertingkatkan, di samping menjauhi tabiat merokok dan sebagainya. Keadaan ini dapat membuka pemikiran anak-anak terhadap bahaya dadah dan rokok.

Marilah kita sama-sama bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak-anak kita dalam mengawasi pergaulan mereka terutama dengan siapa mereka bergaul, ke mana mereka pergi dan apa aktiviti mereka. Keadaan ini bukanlah hendak menyekat atau mengongkong kebebasan anak-anak tetapi mengambil berat dan prihatin terhadap aktiviti mereka sesuai dengan kehendak agama. Kebebasan yang kita berikan kepada anak-anak mesti ada batasnya iaitu dengan batasan agama, akhlak dan sopan santun.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berganding bahu mengatasi masalah dadah dari terus memusnahkan diri dan bangsa kita. Jangan mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu sentiasa berusaha menimbulkan kerosakan ke atas kita lantaran perkara maksiat yang kita lakukan.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 91, tafsirnya:
"Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil."

0 Comments:

Post a Comment