BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 31, 2008

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, di samping itu, marilah kita meningkatkan usaha dalam mendidik anak-anak, ahli keluarga dan masyarakat untuk menyempurnakan segala kewajipan, termasuklah juga usaha menangani gejala sosial, terutama keruntuhan akhlak dan pembabitan jenayah di sekeliling kita.

Semoga kita memperolehi keberkatan serta perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat.

Islam melarang umatnya daripada melakukan apa jua perkara yang mendatangkan mudarat sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada masyarakat. Salah satu perkara atau perbuatan yang sangat ditegah dan wajib dijauhi oleh setiap Muslim ialah mengambil atau memakan atau meminum sesuatu yang mengkhayalkan atau memabukkan seperti meminum minuman keras (khamar) dan penyalahgunaan dadah.

Dalam hal ini, adakah kita sedar terhadap bahaya ancaman penagihan dadah? Sesungguhnya dadah telah banyak merosakkan dan memusnahkan hidup manusia, meruntuh kebahagiaan rumah tangga, mengancam keselamatan diri, agama, bangsa dan negara.

Penyalahgunaan dadah di negara ini kian membimbangkan terutama penggunaan dadah yang dipanggil ‘Syabu’ di negara ini berbagai istilah telah digunakan oleh pengedar dan penagih dadah seperti : ais, kristal, kaca, batu, gula batu, aji no moto, lauk putih, aiskrim dan tawas.

Selain daripada dadah ‘Syabu’, ada juga dadah lain yang diambil oleh penagih-penagih dadah di negara ini seperti dadah heroin, morfin, ganja, pil-pil dan ubat-ubat batuk yang disalahgunakan.

Para ulama telah bersetuju bahawa dadah itu termasuk di dalam pengertian arak kerana dadah boleh mengganggu dan mengkhayalkan fikiran sama seperti arak.


Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
“Daripada Ibnu Umar Radiallahuanhuma: Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Semua yang memabukkan itu adalah termasuk dalam erti kata arak dan semua yang memabukkan itu adalah haram." (Riwayat Imam Muslim).


Dan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi maksudnya:
“Daripada Malik bin Abi Mariam katanya: "Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, pasti akan ada manusia di kalangan umatku yang minum khamar, namun mereka menamakannya dengan nama-nama yang lain." (Hadis Riwayat Imam Abu Daud).

Penyalahgunaan dadah boleh memberi kesan buruk kepada akal, melemahkan tenaga berfikir dan kecerdasan, mengakibatkan penyakit urat saraf mengakibatkan mati pucuk, kerosakan pada hati dan buah pinggang, angin ahmar (stroke), sawan dan boleh mendatangkan maut.

Bagi penagih yang sudah berkeluarga, dadah boleh meruntuhkan kebahagiaan rumah tangga bahkan boleh menyebabkan berlakunya perceraian. Rumah tangga yang sempurna dan bahagia akan musnah di mana anak-anak yang dikasihi akan turut menderita.

Perlu diketahui dan disedari, bahawa akibat dari penyalahgunaan dadah ini, kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah termasuklah dalam membanteras dan memberikan rawatan serta pemulihan.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:
"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu berkata, bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, penagih khamar sama seperti penyembah berhala." (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).


Hadis tersebut menjelaskan dosa penagih khamar atau dadah dengan dosa penyembah berhala adalah sama yang merupakan satu kekufuran yang sangat berat dosanya. Ini menunjukkan betapa besar dosa dan betapa kerasnya larangan tersebut.

Bila melihat betapa besarnya bahaya dadah itu, maka bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Dadah Haram 2007 yang disambut pada 26 Jun 2007 yang lalu, marilah kita sama-sama muhasabah diri sejauh mana kita telah menjaga anak-anak kita dari terpengaruh dengan penyalahgunaan dadah dan perkara-perkara mungkar lain yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam api neraka dan jauh dari rahmat Allah Subhanahu Wata'ala.

Para ibu bapa adalah bertanggungjawab dalam membentuk anak-anak atau para belia ke arah mengamalkan segala tuntutan Islam. Ini penting bagi melahirkan masyarakat yang memiliki iman yang teguh serta mempunyai ketahanan diri yang utuh dalam menghadapi segala godaan yang boleh merosakkan dan memusnahkan hidup.

Di antara perkara-perkara yang boleh mencegah dan mengawal anak-anak kita dari terjebak dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara-perkara mungkar yang lain ialah:

Pertama : Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mendirikan sembahyang fardu lima waktu dengan sempurna kerana sembahyang yang sempurna boleh menjamin seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Ankabuut ayat 45, tafsirnya:
"Dan dirikanlah sembahyang dengan tekun, sesungguhya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar."


Kedua : Ibu bapa juga hendaklah mendorong anak-anak untuk membiasakan membaca Al-Qur’an, di samping mengerjakan sembahyang sunat, berzikir dan lain-lain lagi kerana faedahnya yang amat banyak. Sebaliknya orang-orang yang lalai akan sentiasa menjadi teman syaitan dan hidupnya sentiasa menuju ke arah perkara-perkara mungkar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Ankabuut ayat 45, tafsirnya:
"Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar faedahnya dan kesannya dan ingatlah Allah Ta’ala Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."


Ketiga : Melakukan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan. Sesungguhnya kehidupan manusia akan menjadi manis dan indah sekiranya amar makruf nahi mungkar diamalkan dalam kehidupan seperti sentiasa menjaga akhlak dan batasan dalam pergaulan dan takut untuk melakukan perkara-perkara mungkar termasuk penyalahgunaan dadah.

Keempat : Mewujudkan suasana harmoni dalam rumah tangga. Adapun rumah tangga yang harmoni akan dapat mewujudkan suasana yang bahagia serta anak-anak tidak merasa bosan dan jemu berada di rumah. Apa yang penting, elakkan anak-anak hidup berfoya-foya kerana ia boleh membuka ruang kepada mereka untuk terjerumus dengan dadah.

Kelima : Penglibatan ibu bapa dalam mendidik serta menyedarkan anak-anak tentang bahaya dan kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah hendaklah dipertingkatkan, di samping menjauhi tabiat merokok dan sebagainya. Keadaan ini dapat membuka pemikiran anak-anak terhadap bahaya dadah dan rokok.

Marilah kita sama-sama bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak-anak kita dalam mengawasi pergaulan mereka terutama dengan siapa mereka bergaul, ke mana mereka pergi dan apa aktiviti mereka. Keadaan ini bukanlah hendak menyekat atau mengongkong kebebasan anak-anak tetapi mengambil berat dan prihatin terhadap aktiviti mereka sesuai dengan kehendak agama. Kebebasan yang kita berikan kepada anak-anak mesti ada batasnya iaitu dengan batasan agama, akhlak dan sopan santun.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berganding bahu mengatasi masalah dadah dari terus memusnahkan diri dan bangsa kita. Jangan mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu sentiasa berusaha menimbulkan kerosakan ke atas kita lantaran perkara maksiat yang kita lakukan.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 91, tafsirnya:
"Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil."

Tuesday, October 28, 2008

Salah satu faktor penyalahgunaan dadah adalah berpunca dari keadaan dan sistem institusi keluarga yang tidak stabil, yang kemudiannya meresap dan menjalar dalam masyarakat sehingga menjadi gejala sosial. Justeru itu, adalah wajar institusi keluarga dan masyarakat terlibat, memainkan peranan aktif di dalam mencegah dan membenteras penyalahgunaan dadah.

Langkah-langkah yang diambil oleh ibu bapa untuk menyekat anak-anak mereka dari mengambil dadah pada peringkat awal adalah satu langkah yang bijak iaitu dengan cara:-

-Ibu bapa haruslah mengambil berat ke atas kelakuan dan kebajikan anak-anak.
-Ibu bapa haruslah menjadi contoh yang baik kepada anak-anak.
-Elakkan anak-anak berkawan dengan rakan-rakan yang sudah terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
-Utamakan pencegahan daripada pemulihan.
-Ibu bapa menanam sikap jijik dan membenci dadah kepada anak-anak sejak kecil lagi.

Sehubungan itu, jika salah seorang ahli keluarga didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah, berikut adalah beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan:

-Usah cemas apabila anggota keluarga awda terlibat dengan dadah.
-Keluarga seharusnya bertenang, disebabkan anak yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, keluarga merasa malu dan sukar menerimanya. Dalam situasi ini, keluarga harus menerimanya sebagai kenyataan dan memikirkan cara untuk menghadapi masalah ini.
-Keluarga mesti meninjau sama ada mereka sendiri yang harus dipersalahkan kerana masalah tersebut. Keluarga biasanya menyalahkan kawan-kawan dan jika anak mereka masih bersekolah atau bekerja, mereka akan menyalahkan tempat sekolah atau tempat bekerja.
-Keluarga mesti mengambil berat dan mengetahui serba serbi tentang dadah, bahaya dan kesannya. Mereka mesti tahu tanda-tanda menagih dadah.
-Ahli keluarga boleh menghubungi Biro Kawalan Narkotik untuk meminta nasihat dan pertolongan.
-Jika anak berada dalam Pusat Pemulihan dan Rawatan Dadah, ibu bapa hendaklah melawat bersama-sama anggota-anggota keluarga lain seberapa kerap yang boleh untuk menunjukkan perhatian, mengesahi dan mahu melihatnya pulih seperti sediakala.
-Semasa menemuinya di Pusat Pemulihan dan Rawatan Dadah, keluarga usah menunjukkan simpati keterlaluan seperti menangis di hadapannya. Ini memberi gambaran bahawa mereka menganggap penghuni telah diperlakukan secara tidak adil. Ini tidak akan membantu dalam proses pemulihan.
-Ibu bapa seharusnya mengenakan disiplin dalam rumah dan menyedari bahawa perbuatan yang salah mestilah dibetulkan. Mereka hendaklah memberitahu anak-anak mengapa mereka mengenakan disiplin yang telah dipersetujui.
-Keluarga hendaklah melayaninya sebagai manusia biasa. Jika sudah dewasa, layanilah sebagai orang dewasa dengan cara baik. Elakkan bercakap dengan cara yang merendahkan.
-Keluarga seharusnya mengetahui sejauh mana kebebasan diberikan kepada bekas penagih dadah, bergantung kepada sejauh mana keluarga mengetahui akan pergaulan, sikap dan tingkah lakunya. Keluarga mesti tahu siapa kawan-kawannya, sikapnya terhadap sesuatu, seperti pekerjaan dan kegiatan-kegiatan tertentu.
-Tunjukkan keperihatinan semasa ahli keluarga yang sedang mengikuti program jagaan lanjutan.
-Ibu bapa mesti sedar bahawa pemulihan sepenuhnya adalah proses yang memakan masa.

Wednesday, September 17, 2008

TAHU KAH AWDA??

Pada tahun 1999 hingga tahun 2007, BKN telah berjaya membuat tangkapan sejumlah 5403. Kebanyakan tangkapan adalah terdiri daripada golongan belia yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan yang tidak bekerja. Malah penuntut sekolah juga tidak terkecuali terlibat dalam tangkapan ini.

Pemangku Pengarah BKN, Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya di Majlis Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram berkata, pada tahun 2007 sebanyak 732 kes telah direkod di mana 42 orang adalah penuntut-penuntut sekolah. Dari jumlah tersebut, 33 orang adalah penuntut lelaki dan sembilan orang adalah perempuan. Ini adalah satu fenomena yang amat mengecewakan dan membimbangkan semua pihak terutamanya ibu bapa mereka.

Sementara itu sehingga Mei 2008, sebanyak 222 tangkapan telah pun dibuat yang majoritinya adalah golongan belia dan tidak bekerja.


SOURCE:http://www.brunet.bn/news/pelita/05jul/tinjau.htm

SITUASI DADAH

Oleh : Norliah Md. Zain

DADAH adalah keperluan yang digunakan oleh manusia untuk dijadikan sebagai ubat untuk menyembuhkan penyakit. Namun demikian, apabila ia disalahgunakan akan mendatangkan keburukan kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Disebabkan keburukan inilah maka timbul usaha untuk membanteras penyalahgunaan dadah.

Penyalahgunaan dadah merupakan sesuatu yang sangat berbahaya sehinggakan penyelesaian yang paling baik kepada penyalahgunaan dadah ialah untuk tidak mencuba menggunakan dadah sama sekali, kerana sekali mencuba boleh mengakibatkan kehancuran seumur hidup.

Dianggarkan 200 juta manusia antarabangsa menyalahgunakan dadah haram. Di Amerika Syarikat sahaja, hasil dari kajian National Survey on Drug Abuse and Health menunjukkan 19.5 juta rakyat Amerika tahun 2003 menyalahgunakan dadah. Dadah yang paling banyak disalahgunakan ialah dari jenis marijuana. Mengikut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2005, empat peratus dari penduduk dunia menyalahgunakan cannabis / ganja. Di Australia, dadah yang sering digunakan dan disalahgunakan ialah alkohol. Alkohol juga merupakan peratus kedua tertinggi yang menyebabkan kemalangan jalan raya yang membawa maut di kalangan remaja di Amerika Syarikat.

Generasi muda pada masa ini terdedah lebih awal kepada dadah. Berpandukan kajian U.S Center for Disease Control pada 2003, 45 peratus penuntut sekolah menengah di Amerika Syarikat meminum alkohol dan 22 peratus menghisap ganja dalam masa sebulan. Kajian terbaru di Eropah menunjukkan di antara sepuluh hingga 30 peratus di kalangan pelajar 15 tahun menggunakan cannabis, manakala pelajar lelaki dilaporkan yang tertinggi di United Kingdom sebanyak 42.5 peratus. Penggunaan kokain di Eropah juga meningkat. Di Spain dan United Kingdom lebih 2.5 peratus lebih tinggi berbanding di Amerika Syarikat. Penyalahgunaan kokain meningkat di Austria, Denmark, Germany, Greece, Ireland, Italy, Spain dan Netherlands.

Di Negara Brunei Darussalam, dadah syabu merupakan dadah yang paling banyak disalahgunakan oleh penagih-penagih dadah sejak tahun 2000. 42 penuntut pada tahun 2007 dari pelbagai peringkat ditangkap kerana terlibat menyalahgunakan dadah syabu, ganja, estacy, erimin 5 dan bahan-bahan yang mengkhayalkan. Sembilan daripadanya terlibat menghidu gam. Kebanyakan generasi muda di Negara Brunei Darussalam terlibat menyalahgunakan dadah adalah atas dorongan rakan sebaya atau pengaruh kawan-kawan.

Tuesday, March 25, 2008


.
18 Mac 2008 - Unit 3PD SUAMPRIPAD telah melangkah setapak lebih maju dalam usaha mereka untuk memberi kesedaran akan bahaya penyalahgunaan dadah dengan merasmikan Bilik Operasi Unit 3PD pada tarikh yang telah dinyatakan.
.

.
Hadir untuk merasmikan bilik tersebut adalah Puan pengetua sekolah, Yang Mulia Ustazah Datin Piah Binti Haji Saat, yang seterusnya meninjau lebih dekat akan bilik operasi tersebut.
.

.
Bilik tersebut juga dikunjungi oleh Timbalan Pengetua, Yang Mulia Ustazah Hajah Sarimah Binti Haji Ahmad, disertai oleh para guru dan juga para pelajar lainnya.
.

.
Bilik operasi tersebut telah disediakan oleh pihak sekolah untuk mengalakan dan memudahkan para ahli Unit 3PD untuk merancang dan melaksanakan sebarang aktibiti yang berkaitan dengan pencegahan penyalahgunaan dadah.
.

.
Penyediaan bilik tersebut juga membuktikan sokongan padu pihak sekolah dalam mengalakkan para pelajarnya untuk membabitkan diri dalam aktibiti-aktibiti ko-kurikulum yang bermanfaat.
.

Thursday, March 20, 2008


.

15 Mac 2008 - Satu rombongan dari SUAMPRIPAD yang terdiri dari para pelajar dari Unit Pendidikan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah (3PD) telah membuat satu lawatan ke Biro Kawalan Narkotik dengan ditemani oleh 11 orang guru dari Unit 3PD dan Unit PRS sekolah.
.
.
Rombongan sekolah disambut baik oleh wakil dari Biro Kawalan Narkotik yang seterusnya memberi taklimat tentang penubuhan BKN, misi, visi dan sebagainya. Taklimat tersebut juga merangkumi akan akibat penyalahgunaan dadah serta statistik terkini jumlah kes penyalahgunaan dadah di Negara Brunei Darussalam.
.
.
Setelah penerangan taklimat, rombongan sekolah dibawa melawat ke beberapa tempat di bangunan berkenaan untuk meninjau dengan lebih dekat bagaimana BKN berfungsi secara ringkasnya. Rombongan juga diberi peluang untuk melihat dengan lebih dekat keadaan cell-cell tahanan yang disediakan untuk mereka yang didapati melanggar undang-undang yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.
..
.
Lawatan diteruskan ke Rumah Harmoni iaitu satu bahagian di bawah BKN, dimana para bekas penyalahgunaan dadah boleh meminta bantuan dari segi kaunseling dan sebagainya agar tidak terjebak kembali ke kancah penyalahgunaan dadah.
.
.
Lawatan tersebut diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai dan penyampaian cenderahati dari pihak sekolah untuk BKN atas kerjasama yang diberikan.
.
.

Tuesday, February 5, 2008


.
Pada tanggal 22 Januari 2008, para ahli 3PD SUAMPRIPAD bagi tahun 2007 telah dibubarkan dengan secara rasmi. Upacara pembubaran ini telah diadakan di dewan sekolah dengan penyampaian sijil penghargaan bagi bekas ahli 3PD tersebut. Sepanjang tahun 2007 yang lepas, Unit 3PD ini telah bergiat aktif dalam usaha mereka untuk memberi kesedaran tentang bahayanya penyalahgunaan dadah kepada para pelajar dan juga orang awam. Atas usaha gigih para guru dan juga ahli 3PD tersebut, mereka telah berjaya menduduki naib johan dalam Pertandingan Akhir Pendidikan, Pencegahan, Penyalahgunaan Dadah Bagi Sekolah – Sekolah Menengah/Maktab dan Rendah Seluruh Negara tahun 2007, khususnya dalam Kategori Pertandingan Bertindak Anti Dadah 2007.
.

.
Dengan pembubaran ahli 3PD 2007 ini, pihak sekolah juga terus melantik ahli-ahli 3PD baru bagi tahun 2008. Perlantikkan baru ini disempurnakan dengan upacara penyampaian surat lantikan rasmi dari pihak sekolah kepada para ahli baru. Ahli 3PD 2008 tersebut terdiri dari Nooramalina Binti Hj Sulaiman (Ketua Pasukan), Latifah Binti Hj Aspar, (Penolong), Saadatu Safwana Binti Mohd Salleh, Shaeshelawati @ Nur Sabarina Ashikin Binti Hj Azamain, Nazatul Erny Nasuha Binti Aminuddin, Noralifah Binti Awak, Dk Nur Amirah Binti Pg Abd Aziz, Afa Afeena Binti Hj Mazanan, Nurafiqah Binti Musa dan Hjh Aiman Samhani Binti Hj Abd Halim.